Wednesday, May 16, 2007

Tarbiah dan Dakwah: Menurut perspektif dan manhaj ulama Syam

Tarbiah dan Dakwah: Menurut perspektif dan manhaj ulama Syam

Maulana Abul Hasan Ali an Nadwi Rahimahullah, seorang tokoh ulama terkemuka dari India pernah menukilkan dalam sebuah karyanya yang agung tentang kepentingan dunia arab dalam peta politik dunia. Antaranya, beliau menyebut bahawa “keimanan” merupakan asas utama kepada kekuatan dunia arab. “Keimanan” juga merupakan senjata utama dunia arab sekarang, sepertimana ia juga merupakan senjata utama kepada peradaban dunia arab pada hari kelmarin. Dunia arab tidak akan mampu untuk menghadapi gerakan Zionis, Komunis mahupun musuh-musuh yang lain dengan sumber harta yang diperolehi dari Britain, apa yang disumbangkan oleh Amerika ataupun Rusia, atau apa yang didapati hasil dari emas hitam (industri minyak dan petroleum). Hanya dengan kekuatan yang bertunjangkan “keimanan”, dunia arab akan dapat menghadapi musuh-musuhnya sepertimana kekuatan yang sama digunakan dalam menghadapi kekuatan Rom dan Parsi pada suatu masa dahulu.(Madha Khasira al A’lam bi Inhitat al Muslimin)
Justeru, tidak hairanlah, saban detik dan waktu para ulama Syam menyeru masyarakat tentang peri pentingnya kembali kepada Allah S.W.T dan rasul Nya S.A.W dalam setiap perkara. Untuk membentuk sebuah masyarakat yang ideal, yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T, memerlukan usaha gigih dan kerja kuat dari seluruh ahli ilmu dan pendakwah kepada jalan Nya.
Jika dilihat dari konteks sebuah negara dari dunia arab, iaitu Syria. Kita melihat bahawa, para ulama mereka punya kurikulum tarbiah dan dakwah yang cukup baik untuk dilaksanakan di tanah air kita Malaysia. Semuanya itu diusahakan mereka, demi semata-mata untuk melihat kekuatan “keimanan” kembali mekar dan segar dalam jiwa masyarakat, supaya segala anasir-anasir musuh untuk menghapuskan Islam dapat diatasi. Benarlah sabda baginda S.A.W, daripada Sayidina A’li RA, maksudnya “Para ulama itu merupakan cahaya kepada bumi, dan merupakan khalifah kepada para nabi.” Hadis riwayat Ibn A’di di dalam al Kamil (Al Fathul Kabir).
Penulis akan membawakan beberapa contoh, kurikulum tarbiah dan dakwah yang telah dimainkan para ulama Syam dalam membentuk masyarakat:

1. Membina pusat-pusat pengajian Islam (maahad-maahad syarie) yang diasaskan di bawah sebuah yayasan. Seterusnya menawarkan kelas-kelas pengajian percuma kepada para pelajar. Kos operasi maahad dibiayai oleh dana-dana yang dikumpul dari sumber-sumber kewangan yang disumbangkan oleh para dermawan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan daripada masyarakat sendiri. Sebagai contoh: Jam’iyyatul Fathil Islami yang diasaskan oleh al Murabbi al Kabir as Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri Rahimahullah (Umar b. Syeikh Muwaffaq an Nashuqati, As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri, Hayatuhu al I’lmiyyah, Nahdhotuhu, Atharuhu) dan Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro yang diasaskan pembinaannya oleh al Murabbi al Kabir as Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah. As Syeikh Said Hawwa Rahimahullah berpendapat bahawa, pendidikan agama di sekolah-sekolah merupakan wasilah terpenting dalam memberikan pendidikan tentang agama Islam. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan)

2. Memakmurkan sepenuhnya institusi masjid dengan kegiatan-kegiatan ibadah dan keilmuan:
• Mengadakan pengajian-pengajian ilmu secara umum dan khusus.
• Menggunakan mimbar Jumaat untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kepada masyarakat dengan khutbah-khutbah yang bermutu dan bertenaga.
• Menggunakan mimbar Jumaat untuk menyeru masyarakat menyumbangkan wang dan harta mereka untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
• Mendoakan pimpinan utama negara supaya diberikan taufiq dan hidayah, seterusnya melaksanakan apa yang diperintahkan Allah S.W.T dan rasul Nya S.A.W
• Menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu pesta ibadah dengan menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan.

Sebagai contoh: Jami’ Zaid b. Thabit yang terletak di Fahhamah, masjid yang dipimpin oleh as Syeikh Sariyah ar Rifa’ei ini telah berjaya memakmurkan institusi masjid mereka dengan kegiatan-kegiatan ibadah, keilmuan, sambutan-sambutan penting dalam sejarah Islam dan projek-projek perniagaan. Mereka mengusahakan perniagaan perabot, farmasi perubatan, pusat pakaian pengantin, pusat jualan mushaf, kitab, buku, cd dan kaset-kaset keislaman. Mereka juga mengadakan konsultan kebajikan untuk membantu para fakir dan miskin.

Para ulama Syam menjadikan masjid sebagai lokasi utama mereka menyumbangkan kepakaran ilmu dalam memberikan pendidikan dan berdakwah kepada masyarakat. Ini merupakan satu pendidikan efektif yang pernah diusahakan baginda S.A.W dalam membentuk para sahabatnya. Masjid merupakan pusat pengajian pertama dalam sejarah ketamadunan Islam.
“Madrasah al Muhammadiyah” yang bertempat di Masjid Nabawi telah berjaya melahirkan graduan-graduan yang berjaya meletakkan Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya. (as Sirah an Nabawiyyah, Dr. Musthofa as Siba’ei)
Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya proses perkembangan Islam mengalami detik-detik kemajuan dan kemunduran, di antara petanda kemajuan agama ini, segenap lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk mendalaminya. Sebaliknya, apabila ilmu Islam ini hanya dipelajari oleh sebilangan kecil masyarakat, ia merupakan petanda kemunduran agama ini." Hadis riwayat Thobarani, Ibnu Sunni, Abu Nua'im dan hadis ini dhoif di sisi al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani.
Penulis melihat bahawa kurikulum tarbiah dan dakwah yang dilaksanakan oleh para ulama Syam bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh as Syeikh Said Hawwa Rahimahullah tentang lima konsep jihad: 1. Jihad Lisani 2. Jihad Ta’limi 3. Jihad bil Yadi wan Nafs 4. Jihad Siyasi 5. Jihadul Mal. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).
Para ulama Syam mendahulukan Jihad Lisani, Jihad Ta’limi dan Jihadul Mal. Mereka melihat tiga jihad tersebut sebagai sesuatu yang patut diutamakan dari jihad-jihad yang lain. As Syeikh Said Hawwa Rahimahullah dalam pesanannya menyebut “Ketika mana menyampaikan kerja-kerja dakwah dan tarbiah, hendaklah mendahulukan yang lebih penting dari yang penting, mulakan dengan akidah sebelum ibadah, kemudian ibadah sebelum kurikulum-kurikulum kehidupan, dengan kulliyat sebelum juziyyat, dan dengan yang dekat sebelum yang jauh.” Daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya Rasulullah S.A.W ketika mana mengutuskan Sayidina Muadz RA ke Yaman telah berpesan, maksudnya “Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum dari kalangan ahli kitab, dan jadikan perkara pertama yang kamu seru ialah beribadah kepada Allah S.W.T, maka apabila mereka telah mengetahui, sampaikan kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan solat lima waktu ke atas mereka pada waktu siang dan malam mereka. Apabila mereka telah lakukannya, sampaikan kepada mereka bahawa Allah S.W.T telah mewajibkan zakat yang diambil dari harta mereka untuk dikongsi bersama fakir miskin dikalangan mereka. Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah harta mereka untuk dijadikan zakat, peliharalah kemuliaan dan kemurnian harta mereka, hendaklah kamu takuti akan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada hijab diantara Allah S.W.T dan doa orang yang dizalimi tersebut.” Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Antara wasilah Jihad Lisani ialah:
1. Menyebarkan kitab-kitab agama. 2. Majalah, surat khabar dan artikel-artikel Islam. 3. Ucapan, syarahan dan pengajian umum di masjid-masjid dan rumah.
4. Dakwah secara individu, program ziarah, rehlah dan kumpulan-kumpulan diskusi. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).
As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri Rahimahullah telah menggariskan dua perkara penting dan mengutamakan Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi dari jihad-jihad yang lain. Dua perkara tersebut ialah 1. Nasihat yang ikhlas kepada para pemimpin, ia patut disampaikan dengan penuh bijaksana dan berhikmah. Berkata as Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan kepada para ulama untuk memberikan nasihat dan peringatan kepada para umara’, bukannya melahirkan tanda setia kepada mereka demi semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia dan harta.” 2. Bekerja sepenuhnya untuk menyebarkan ilmu Islam yang sebenarnya. Kerana dengan pemahaman Islam yang sebenar dan menyeluruh akan dapat menghilang dan menghapuskan kerosakan dan kejahilan. Maka akan aman dan sejahtera sesebuah Negara, para pemimpinnya dan rakyat jelata. (Umar b. Syeikh Muwaffaq an Nashuqati, As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri, Hayatuhu al I’lmiyyah, Nahdhotuhu, Atharuhu)
Antara wasilah yang digunakan dalam Jihad Ta’limi ialah 1. Membuka kursus-kursus keilmuan. 2. Halaqah pengajian di rumah atau di masjid. 3. Program rehlah yang berkonsepkan ilmu, dakwah dan kerja.
Ukuran kejayaan kepada Jihad Ta’limi ialah kemampuan kita untuk memberikan thaqafah Islamiyyah yang sempurna dan pendidikan Islam yang sebenar, sejahtera dan sempurna sifatnya kepada seluruh masyarakat.
Perbezaan diantara Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi ialah, Jihad Lisani: Mengguna dan mengorbankan seluruh tenaga dengan lisan yang terdiri dari ucapan, syarahan dan tulisan untuk melawan segala bentuk penyelewengan untuk mengembalikan masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar. Manakala Jihad Ta’limi pula ialah: Mengguna dan mengorbankan seluruh tenaga untuk memberikan pendidikan, pengajaran, dakwah dan thaqafah kepada mereka yang telah menerima agama Islam. Jika diamati, kadang-kadang seolah-olah wujud persamaan diatara Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi, tetapi sebenarnya ia tetap mempunyai perbezaan. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).

Sesuatu yang amat berharga, para ulama besar yang mempunyai kepakaran ilmu yang cukup mendalam turut serta untuk mengepalai masyarakat dalam memakmurkan masjid. Sebagai contoh: As Syeikh Usamah ar Rifa’ei di Masjid ar Rifa’ei, as Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al Bouti di Masjid Mulla Ramadhan dan Masjid al Iman, as Syeikh Dr Wahbah az Zuhaili di Masjid Uthman al Kuwaiti, dan ramai lagi para ulama yang mempunyai kelulusan dan kepakaran yang cukup hebat yang turut serta dalam memakmurkan institusi masjid.
Fenomena ini adalah sesuatu yang jarang kita temui di tanah air. Para cendiakawan Islam hanya memperuntukkan waktu mereka menyumbangkan ilmu di bilik-bilik kuliah di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi sahaja, mereka hanya menyampaikan teori tetapi tidak pada praktikalnya. Walaupun penulis tidak menafikan, wujudnya para pensyarah Institusi Pengajian Tinggi di tanah air yang sanggup turun padang membantu masyarakat dengan mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu di masjid-masjid.
Para ulama Syam juga berjaya membentuk masyarakat mereka dengan pentingnya seorang “Tholib I’lm” (penuntut ilmu), sehingga masyarakat tidak lokek untuk memberikan bantuan kepada penuntut ilmu.
Lebih membanggakan lagi, didapati wujud dikalangan ulama Syam yang mempunyai syarikat-syarikat perniagaan sendiri. Ini merupakan sesuatu yang amat baik dalam proses mereka menyebarkan ilmu, kerana mereka tidak bergantung kepada sesiapa, malahan ada di kalangan mereka sendiri yang membantu masyarakat dan penuntut-penuntut ilmu.
Berpersonaliti menarik dengan mementingkan kekemasan berpakaian ketika berdepan dengan masyarakat dan penuntut ilmu, serta diiringi dengan sifat tawadhu’ yang cukup tinggi sudah cukup untuk menarik masyarakat menerima mereka.
Kesimpulannya, artikel ini merupakan satu catatan ringkas mengenai kurikulum tarbiah dan dakwah yang dilaksanakan oleh para ulama Syam dalam membentuk masyarakat. Ia ditulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis sepanjang berada di bumi yang penuh dengan keberkatan ini. Buat semua penuntut ilmu (pesanan khusus buat saya dan teman-teman di Syam), jadikan keberadaan kita di bumi yang bertuah ini untuk memetik sebanyak mungkin buah-buah ilmu yang segar dari ulama Syam untuk kita hidangkan kepada umat Islam di tanah air sewaktu kembali nanti.

Saturday, April 7, 2007

Sambutan Maulidur Rasul di Damsyik, Syria

Sewaktu usai entri pertama dimasukkan dan blog saya berjaya disiapkan, saya berjanji pada diri untuk cuba memperbaharui atau mengemas kini blog saya seminggu sekali, saya hanya merancang, hanya Dia yang bakal menentukan, dengan kesibukan yang memanjang ditambah dengan beberapa kesulitan, hampir sebulan saya tidak mengemas kini. Namun itu tidak bermakna saya ketinggalan maklumat semasa, sempat juga singgah-singgah dunia maya mencuri masa membaca maklumat semasa, menziarahi web-web blog blogger-blogger profesional tanah air yang mula merungut kebebasan mereka mungkin akan diceroboh jika menulis di alam maya pun terpaksa mendaftar, apakah penulis amatur seperti saya juga terpaksa mendaftar?

Sehari demi sehari usia dunia berlalu pergi, sama ada sedar atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa usia dunia semakin hampir ke penghujungnya. Bagi saya yang dalam pengembaraan ilmu di bumi Syam, saban hari dihidangkan dengan konflik timur tengah yang seakan-akan tidak ketemui titik noktahnya. Walaupun sehingga saat saya menaip entri ini Syria masih belum dinodai dengan sebarang peluru Amerika, Israel dan sekutunya, sekurang-kurangnya bahang kepanasan konflik Iraq, Palestin, Lubnan dan Iran kadang kala sampai jua ke sini. Terkini, konfrantasi Iran-Britain menghangatkan lagi keadaan yang sedia panas. Apakah hegemoni Amerika dan sekutunya akan diperluaskan? Satu persoalan yang bakal menemukan aneka jawapan.

Bukanlah hasrat saya untuk mengulas panjang konflik yang berlaku di bumi yang saya duduki sekarang, kali ini saya suka untuk berkongsi pembacaan saya terhadap gerak kerja ulama Syria dalam menjalankan amanah yang terbeban sebagai waris para nabi. Saya rasakan seolah-olah mereka punya metodologi yang satu, cuma mungkin wujud perbezaan kecil dalam gerak kerja.

Sempena tarikh kelahiran manusia agung Nabi Muhammad s.a.w (walaupun saya agak terlewat memasukkan entri ini dari tarikh ulang tahun sebenar), dan dengan konsep “dia hidup di hati-hati kami”, Masjid Al-Rifaei yang terletak di Kafar Sousah, Damsyik menganjurkan sebuah majlis sambutan Maulidur Rasul besar-besaran. Masjid tersebut dipimpin oleh Syeikh Usamah al-Rifaei. Masjid Al-Rifaei merupakan salah sebuah masjid yang cukup berpengaruh di ibu kota Damsyik. Kehadiran ribuan hadirin yang membanjiri masjid sehingga ada yang terpaksa mengikuti majlis di luar sudah cukup membuktikan hebatnya sambutan yang diterima dari segenap golongan masyarakat.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, penganjur program tetap memilih bacaan burdah (lihat fakta ringkas di bawah) sebagai agenda utama program, ia turut diselang-seli dengan ucapan beberapa orang ulama dan diserikan lagi dengan ucapan-ucapan ringkas kanak-kanak kecil berkenaan puji-pujian kepada baginda s.a.w. Sempat saya perhatikan seorang arab di sebelah saya yang memberikan rangsangan kepada anaknya supaya menjejaki jejak teman-temannya yang berani tampil ke hadapan.

Syeikh Usamah al-Rifaei dalam ucapannya mengingatkan, program sambutan ini bukan sekadar untuk menghiburkan jiwa dengan alunan burdah yang disampaikan, tetapi untuk sama-sama dihayati segala kandungan burdah dan seterusnya menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Syeikh Usamah al-Rifaei juga berpesan kepada hadirin, supaya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w dalam segenap hal, mudah-mudahan dengan masyarakat yang baik, pemimpin akan terikut dengan suasana masyarakat. Suatu yang saya lihat di Syria, dalam masa ruang untuk meninggikan kalimah Allah s.w.t melalui sistem demokrasi tertutup rapat, para ulamanya tidak berputus asa, segala ruang-ruang yang masih dibenarkan digunakan sepenuhnya untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Majlis-majlis ilmu terus mekar hidup subur, khutbah-khutbah jumaat dijadikan platform terbaik menyebarkan ilmu dan dakwah secara mingguan.

Majlis sambutan tersebut turut menyentuh hati saya sebagai orang muda apabila satu kempen besar-besaran kutipan derma kepada tabung “al-Mawaddah wa al-Rahmah” diadakan, yang mana objektif utamanya ialah untuk membantu golongan muda-mudi yang ingin berkahwin untuk dipermudahkan urusan perkahwinan mereka jika mempunyai masalah kewangan. Ia juga bertujuan untuk membina masyarakat yang sentosa, aman tanpa dosa dan noda akibat penyakit-penyakit anak-anak muda yang terbantut dan tergendala perkahwinan mereka akibat karenah birokrasi orang-orang tua. Projek murni ini diasaskan pada tahun 1999 dan merupakan projek kedua bagi Persatuan Yayasan-yayasan Kebajikan di Damsyik setelah tabung “al-A’fiyah” (tabung khusus bagi pesakit-pesakit miskin yang memerlukan bantuan). Sejak ditubuhkan, tabung ini sudah pun mengeluarkan sumbangan kepada lebih 2,250 orang pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Syeikh Sariyah al-Rifaei dalam ucapannya menyentuh tentang tabung ini dan kepentingan menjayakannya, malah turut mendoakan dalam ucapannya agar anak-anak muda dikurniakan isteri-isteri solehah dan anak-anak gadis dikurniakn suami-suami soleh. Amin Ya Rabb…

Fakta Ringkas:

Burdah al-Madih: Merupakan untaian syair-syair memuji Rasulullah s.a.w hasil karya Abu Abdillah Muhammad bin Said al-Bushiri (608H-696H). Ramai di kalangan ulama berpendapat, ia merupakan salah satu syair terbaik dalam memuji Rasulullah s.a.w.

Sejumlah besar masjid-masjid di Syria dipimpin oleh seorang ulama. Di sana diwujudkan kelas-kelas pengajian, bacaan al-Quran dan majlis-majlis zikir, juga turut diadakan program-program sambutan keagamaan seperti maulidur rasul.

Syeikh Usamah al-Rifaei dan Syeikh Sariyah al-Rifaei: Merupakan anak kepada Syeikh Abd Karim al-Rifaei rahimahullah (1901M-1973M), tokoh ulama Syria yang terkenal satu ketika dahulu. Seperti mana ayah mereka yang menjadikan masjid sebagai pusat utama dalam menggerakkan masyarakat, mereka turut mengikuti jejak langkahnya dengan masing-masing memimpin masjid al-Rifaei dan masjid Zaid bin Thabit, dua buah masjid yang cukup aktif dan berpengaruh di ibu kota Damsyik. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, generasi muda perlu dididik dengan asuhan agama agar langkah hidup tidak tersilap, dengan itu mereka asaskan pengajian-pengajian ilmu, kelas-kelas al-Quran, kumpulan-kumpulan nasyid dan burdah. Mereka juga meneruskan gerak kerja ayah mereka dalam menggerakkan yayasan-yayasan kebajikan.


(Gambar-gambar sekitar majlis sambutan Maulidur Rasul, Masjid al-Rifaei, Damsyik, Syria)


Thursday, March 8, 2007

Jalan-Jalan Cari Ilmu

Jalan-Jalan Cari Ilmu

Rabu 17 Safar 1428 Hijrah, tika kaki melangkah masuk pintu Maahad Jam’iyyah al-Fatah al-Islami untuk memulakan sesi pengajian pada hari tersebut, rasa cemburu seakan mengundang melihat seorang teman dari Indonesia bersama seorang wanita, lantas sikap baik sangka terus disematkan dalam hati, dan terus teringat bahawa dia sudah pun menyatakan pada saya beberapa waktu dulu yang ia akan pulang untuk menamatkan zaman bujangnya. Tahulah saya bahawa ia sudah kembali, dan sudah berubah statusnya sekarang. Tiada kata terindah yang mampu saya lafazkan, kecuali melakukan apa yang telah diajarkan baginda s.a.w dengan mendoakan keberkatan buat mereka tika mana bersua muka dan bersalam dengannya.

Istana perkahwinan merupakan simbol cinta agung bagi sepasang kekasih yang menurut perintah Allah dan rasul-Nya. Dengannya akan terpelihara dua insan yang bercinta dari terjebak ke kancah maksiat, terjaga keturunan dan kehormatan, mematangkan gerak dalam meneruskan kehidupan di dunia dan bermacam bentuk kemanfaatan yang diperolehi kesan dari syariat yang maha sempurna ini.

Majnun tenang saja menjawab ketika ditanya mengapa memilih Laila yang tidak cantik rupa parasnya, malah hitam pula warna kulitnya. “Hanya seorang yang mempunyai sepasang mata seperti Majnun sahaja yang mampu menilai kecantikan Laila.” Benarlah, cinta itu subjektif sifatnya. Romeo dan Juliet pula demi cinta, rela berkorban apa sahaja walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta. Begitulah cinta, ramai yang terkorban keranannya, dan ada juga yang berjaya menggapai langit-langit cinta dengan membina menara perkahwinan yang diredhai-Nya. Hakikat yang berlaku, ada juga menara yang runtuh dek gagal mempertahankan menara yang dibina dari anasir-anasir yang boleh meruntuhkannya.

Cerita pensyarah saya.
Dr. Abd Rahman as-Syarqiyyah, pensyarah saya di tahun dua dalam subjek (“ahwal al-Syakhsiyyah”, perbincangan nikah, cerai, rujuk, dan yang bersangkutan dengan alam rumah tangga). Beliau juga merupakan seorang kadi, di Ba’labakka, Lubnan. Suatu hari, beliau menceritakan pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes perceraian. Menurut beliau, sepanjang beliau mengendalikan kes cerai, tiada seorang wanita pun yang tidak mengalirkan air mata kerana sedih mendengar pengesahan perceraian mereka. Namun, ada satu kes didapati seorang wanita ketawa gembira sebaik mendengar pengesahan perceraiannya. Setelah diselidiki, didapati wanita tersebut mengalami gangguan mental. Naluri manusia tetap mengatakan perpisahan itu suatu yang menyedihkan, lebih-lebih lagi setelah sekian lama tinggal sebumbung.

Saya tidak pernah berkesempatan mengikuti kes perbicaraan pengesahan perceraian di mana-mana mahkamah syariah di Malaysia. Apakah cerita yang sama berlaku seperti mana yang diceritakan pensyarah saya, atau sebaliknya, apakah masyarakat Malaysia sudah menganggap perceraian suatu yang biasa, sehinggakan saban hari ada sahaja berlaku kes keberantakan rumah tangga. Dalam dunia artis, disebabkan sudah menjadi cerita biasa, ada masyarakat awam yang bertanya, agak-agak bila mereka akan bercerai, soalan ditanya sebaik mengetahui artis berkahwin. Malah, saya pernah terbaca mesej di telefon tangan teman saya yang mengandungi lagu yang direka sebaik sahaja Datuk Siti Nurhaliza berkahwin, apa yang menyedihkan, sebaiknya didoakan kebahagiaan dunia dan akhirat buat beliau, namun lirik lagu tersebut dalam nada sindiran menyatakan tentang perceraian mereka yang bakal berlaku.

Cerita dari buku saya
Saya terbaca sebuah kisah teladan yang menarik untuk dikongsi bersama, tidak pasti ia berlaku di mana, buku tersebut di dalam bahasa arab yang bertajuk (“al-Hubbu wa al-Sa’adah baina al-Zawjain”, Cinta dan Kebahagiaan di antara sepasang suami isteri, Penulis: Yusuf Khotthor Muhammad).

Diceritakan seorang suami meminta kepada si isteri membawakannya sebiji epal untuk dimakan, maka si isteri pun membawakannya dan dimakan oleh si suami epal tersebut tanpa menghabiskannya (epal tersebut dimakan oleh si suami tanpa dikupas menggunakan pisau), lalu si isteri mengambil baki epal tersebut dan mengambil sebilah pisau. Si suami bertanya “apa yang ingin awak buat,” si isteri menjawab “saya ingin menghilangkan bekas-bekas gigitan awak.” Tanpa berfikir panjang, si suami lantas menceraikan si isteri disebabkan kesan penghinaan yang dirasakannya.

Ulasan saya terhadap cerita tersebut, dua-dua didapati bersalah…

“Perkara halal yang paling dimurkai Allah Taala ialah perceraian (talak)” –Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah-

Dalam buku tersebut ada juga dimuatkan perumpamaan-perumpamaan tentang wanita. Antaranya: “Wanita Itali tidak akan mempercayai yang kamu betul-betul jujur dalam mencintainya kecuali setelah kamu melakukan satu jenayah kerananya, wanita Inggeris pula akan mempercayai kejujuran kamu setelah kamu banyak “berhabis” kerananya, manakala wanita Perancis pula setelah kamu melakukan sesuatu perkara “bodoh” kerananya, tetapi wanita Arab hanya akan betul-betul akan mempercayai kejujuran kamu dalam mencintainya apabila kamu mengahwininya”

Wanita Melayu pula bagaimana ya??

(Kebenaran perumpamaan ini tidak dapat dipastikan, ia hanya terjemahan semata-mata. Jika ada kebenarannya, mohon diambil manfaatnya, jika tidak mohon dimaafkan kesalahan saya dan penulis buku tersebut)



Cerita pengalaman saya

Poligami dan Monogami

Di penghujung tahun 2006 saya berkesempatan mengikuti satu forum berkenaan “Poligami” yang diadakan di Pusat Thaqafah Arab, Kafar Sousah, Damascus (Markaz al-Thaqafi al-Arabi). Menariknya, panelis forum terdiri dari mereka yang mengamalkan poligami dan yang memilih untuk kekal dengan monogami.

Pada mulanya saya berhasrat untuk membawakan perbahasan poligami mengikut tulisan Dr. Syawqi Abu Khalil, (seorang pakar sejarah yang terkenal) dalam bukunya “al-Islam fi Qafshi al-Ittiham”, malangnya buku saya tersebut hilang entah ke mana. Jadi saya selitkan pengalaman ringkas ini.

Buat wanita-wanita yang berilmu, yang memahami kebijaksanaan syariat Allah Taala, cuba perhatikan di dunia, di Malaysia atau cukup di sekeliling anda, berapa ramaikah lelaki yang betul-betul berhasrat melakukan poligami?

Seorang panelis forum tersebut, mengakui beliau tidak berhasrat melakukan poligami kerana bimbang tidak bisa berlaku adil kepada isteri-isterinya. Forum tersebut berjalan lancar sehinggalah kepada sesi soal jawab. Seorang wanita Syria (bukan berpendidikan agama) bangun mempersoalkan kewajaran mengadakan forum tersebut, beliau lebih menyarankan untuk dianjurkan forum bagaimana jalan terbaik untuk mengahwinkan pasangan-pasangan yang bercinta dek halangan-halangan yang terlalu banyak, idea beliau tersebut dan bangkangan beliau terhadap tajuk forum mendapat tepukan gemuruh hadirin di kalangan wanita. Namun selang beberapa minit setelah itu, tampil pula seoarng wanita lain yang berhijab lengkap seorang muslimah sejati, lain pula kisahnya. Wanita berhijab ini menyatakan bahawa beliau merupakan isteri ketiga kepada seorang lelaki soleh lagi adil, beliau mengharapkan suaminya kahwin buat kali keempat kerana gembira dengan keadilan yang ditunjukkan oleh si suami. Bermadu itu manis rasanya jika kena caranya. Wanita muda yang berhijab tersebut merupakan seorang pelajar di Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro, Damascus. Dengan kenyataan wanita tersebut, satu tepukan gemuruh dari tempat duduk lelaki pula kedengaran. Tersenyum pengacara majlis, Syeikh Mahir al-Hindi, dan menyatakan beliau tidak dapat menghalang tepukan gemuruh peserta-peserta forum dari kalangan lelaki.

Ulasan saya: Yakin dan percayalah akan kebijaksanaan Allah Taala dalam segala pensyariatan-Nya. Poligami dan Monogami, kedua-duanya baik jika diadun dan diuli dengan acuan al-Quran dan as-Sunnah.



Cerita Ustaz Shamsuri Hj. Ahmad

Susah betul nak kahwin
Ustaz yang saya sebutkan di atas merupakan seorang pendakwah bebas yang cukup terkenal di utara tanah air. Pernah sekali beliau menceritakan kisah sepasang suami isteri. Si suami dan isteri bertengkar tentang rumah ibubapa siapakah yang pertama akan dituju untuk pulang ke kampung. Si suami bertegas dan berkeras hanya akan balik ke rumah ibubapanya sahaja. Si suami berhujah dan beralasankan, “dulu masa aku nak kahwin dengan hang, aku makan “maggi” lama untuk simpan duit, aku bukan kahwin dengan hang, aku beli hang…,” begitu lebih kurang dialog yang diungkapkan oleh ustaz dalam dialek utara.

Kes seperti ini merupakan kes biasa yang dihadapi oleh ramai anak muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Gerbang perkahwinan yang diharapkan terpaksa ditangguhkan disebabkan kerenah birokrasi yang wujud. “RM8,888, maaf angka belakang sahaja yang boleh diubah, angka depan tidak boleh diubah.” Satu contoh dialog wakil perempuan kepada wakil lelaki dalam menetapkan wang hantaran. Itu belum lagi dilihat kepada perkahwinan “orang-orang besar” dan artis-artis. Angka RM22,222, RM11,111 dan bermacam-macam lagi angka yang cukup menakutkan kaum lelaki untuk berkahwin. Maka jadilah apa yang terjadi, istana perkahwinan yang tidak dibina dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t seringkali diakhiri dengan perceraian.

“Wanita yang paling besar berkatnya ialah yang lebih mudah bebanan (terhadap lelaki dalam urusan mahar)” –Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya-

“Sebaik-baik wanita itu ialah yang lebih mudah urusan maharnya” –Hadis riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab sohihnya-

Tidak dinafikan mahar di tempat kita boleh dikatakan rendah, tapi mengapa dipindahkan pula bebanan tersebut dengan wang hantaran yang berganda-ganda yang dibuat untuk menunjuk-nunjuk dan menandingi keluarga lain dalam urusan perkahwinan anak-anak.

Ya Allah, kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu kepada-ku dan kepada masyarakat-ku dan juga buat seluruh umat Islam dalam mematuhi segala tunjuk ajar yang dibawa oleh kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w.

Berjalan, Melihat, Menafsir...

Setelah “Jalan-Jalan Cari Kubur” berjaya menembusi alam tanpa sempadan, saya berhasrat untuk menulis mengenai riwayat hidup seorang sahabat baginda s.a.w, Saidina Muawiyah r.a., pemimpin ulung kepada zaman keemasan Islam. Namun, disebabkan maklumat yang ada dalam ingatan saya tidak tersusun, saya tangguhkan dulu buat beberapa ketika, kerana saya memerlukan kepada rujukan semula kitab-kitab sejarah, supaya apa yang bakal diceritakan sesuatu yang benar dan bersih suci dari mana-mana riwayat yang sudah diracun oleh mana-mana pihak, sama ada dari “kumpulan hitam” Syiah, orientalis, dan pihak-pihak yang mempunyai hasad dengki terhadap Islam. Saya mencintai Saidina Muawiyah r.a., dan kecintaan yang sama juga saya rasakan terhadap Saidina Ali r.a. dan kepada seluruh ahli keluarga baginda s.a.w.

Gelaran “kumpulan hitam” di atas saya berikan untuk mengelak dari menyebut perkataan “Syiah” secara terang-terangan sewaktu saya diberi tanggungjawab untuk sama-sama mengepalai sesi jelajah makam yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia Syria pada cuti musim panas yang lalu. Kawasan perkuburan yang kami lawati, diziarahi sama golongan Syiah yang meratap, merintih, menangis dan bermacam-macam lagi perkara bid’ah yang mereka lakukan. Malangnya, seperti mana sikap mereka terhadap sahabat, sikap itu jugalah yang mereka tonjolkan sewaktu menziarahi kubur, sikap “memilih” kubur-kubur tertentu sudah cukup untuk membuktikan sehingga kini mereka masih lagi membenci sahabat-sahabat baginda s.a.w.

Setelah sedikit sebanyak mengetahui, melihat, mengkaji serta mengamati, rasa hormat saya terhadap “kumpulan hitam” semakin hari semakin menurun. Zaman kanak-kanak saya, pernah juga membelek cerita-cerita revolusi yang dicetuskan Khomeini, ada sedikit kekaguman. Usia menginjak remaja, mendengar orang-orang yang menceritakan tentang kehebatan Iran. Masa berlalu dan terus berlalu….jalan-jalan cari ilmu, menemukan saya hakikat sebenarnya, dan saya bertekad, saya tidak akan menghormati mereka selagi mana mereka tidak menghormati pendamping-pendamping setia makhluk paling agung, banginda Nabi Muhammad s.a.w, selagi mana mereka “memilih-memilih” dalam hal ini, maka tiada kompromi ke atas mereka. Betul, saya akan berada di belakang mereka atas perjuangan menentang kebiadaban Zionis dan sekutunya, namun saya akan berada sejauh-jauhnya dari mereka ketika mana mereka hanya menyanjung insan-insan tertentu sambil mencela dan mengenepikan yang lain. Dengan kata lain, selagi mana usul “al-Taqiyyah” tidak dibuang dari pegangan mereka, selagi itulah sukar untuk saya menghormati mereka.

Besar harapan saya, peserta-peserta yang ikut serta dalam jelajah makam yang dianjurkan, pulang dengan seribu maklumat, baca kembali sejarah dan meneliti skripnya, kerana sejarah pasti berulang, pelakonnya sahaja yang berbeza. Sesungguhnya siapa yang meneliti sejarah, pastinya sedar dan tahu, bahawa hanya ada dua golongan sahaja di dunia ini, yang ingkar dan enggan patuh segala arahan-Nya dan yang kedua, yang beriman dengan segala arahan-Nya dan menuruti apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya.
Allah s.w.t menyebut di dalam surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat ‘ibrah (pengajaran) bagi mereka yang sempurna akan fikirannya. Ia bukanlah bicara yang direka-reka bahkan suatu kenyataan yang mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab yang terdahulu daripadanya. Serta sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Selalu dipesan buat diri, dan pesan ini juga ditujukan buat semua, “jalan-jalan” bukan sekadar berseronok suka, bergambar gembira dan makan bersama, lebih-lebih lagi, “jalan-jalan sejarah” bukan sekadar penglipur lara, ambillah peringatan wahai orang-orang yang beriman!!!



Saturday, March 3, 2007

Jalan-Jalan Cari Kubur


Dalam pengembaraan saya mencari ilmu di bumi Syam, saya pernah berkesempatan berkawan dengan seorang teman yang menjadikan ziarah kubur sebagai salah satu pengisian masa senggangnya. Bagi saya, ia sebagai suatu hobi yang cukup unik yang amat sukar ditemui di kalangan ramai teman-teman saya.

Suatu hari, ketika saya dibantu beliau untuk menziarahi kubur-kubur para sahabat, pemimpin Bani Umayyah, para ulama’, wali-wali Allah dan juga insan-insan soleh sekitar kota Damsyik, saya terkejut dengan pertanyaan beberapa orang penjaga kubur yang bertanyakan kepada beliau, mengapa sudah lama tidak datang ziarah. Malah teman saya ini turut mengenali nama-nama beberapa orang penjaga kubur sekitar Damsyik. Dengan dua tanda tersebut, tahulah saya bahawa teman saya sudah beberapa kali datang menziarahi kubur-kubur sekitar Damsyik.

"Jalan-jalan cari kubur" yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu berakhir sebaik masuknya waktu solat asar. Alhamdulillah kami berkesempatan menziarahi sekitar 60 kubur di beberapa buah kawasan perkuburan kota Damsyik. Tiga lokasi utama kami pada hari itu ialah kawasan perkuburan Bab al-Soghir, Bab Tuma, Qadam dan Raudhah al-Ulama’.

Jika di Malaysia, saya hanya mendengar mengenai Saidina Mua’wiyah bin Abi Sufyan, Bilal bin Rabah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ibn A’sakir, Dr. Mustafa as-Sibaei’, Syeikh Mulla Ramadhan -ayah kepada Prof. Dr. Said Ramadhan al-Bouti- (sekadar menyebutkan beberapa nama dari beberapa generasi), tetapi pada kali ini saya berkesempatan memberi salam dan membacakan Ummul Kitab buat mereka. Sedikit sebanyak sejarah serta riwayat hidup mereka saya soroti dengan penerangan-penerangan yang diberikan oleh teman saya.

Antara kelebihan yang saya temui pada teman saya sepanjang “jalan-jalan cari kubur” kami pada hari itu ialah penerangan-penerangan yang diberikan oleh beliau tanpa menggunakan apa-apa teks atau nota. Mungkin itu satu nikmat yang Allah berikan kepada mereka yang memelihara diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Teman saya ini terkenal dengan ingatannya yang cukup kuat, cukup sekali bertemu dia pasti boleh mengingati semula nama-nama pelajar Malaysia yang beliau temui. Dengan kata lain, bagi saya teman seperti ini sukar untuk saya temui.

(Teman yang saya maksudkan sudahpun menamatkan pengajiannya di Maahad al-Fatah al-Islami, beliau bercadang menyambung pengajian di peringkat sarjana (M.A) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Saya lebih berminat menggunakan nama “Syam” dari “Syria”, kerana ia lebih dekat dengan Islam bersandarkan hadis-hadis berkenaan kelebihan “Syam”. Insya-Allah di lain waktu, saya akan cuba menulis riwayat hidup insan-insan yang kami ziarahi. Mudah-mudahan “jalan-jalan cari kubur” mengingatkan kami kepada ajal dan maut yang tidak diketahui tarikh dan harinya serta sejauh mana persediaan kami menghadapinya. Dalam masa yang sama, diharapkan bacaan serta kajian mengenai insan-insan yang kami ziarahi pusaranya, dapat dijadikan panduan dan tauladan dalam menghadapi sisa-sisa kehidupan di muka bumi-Nya.

Tanpa disedari “jalan-jalan cari kubur” membawa saya merujuk kembali beberapa persoalan hukum-hukum fiqhiyyah berkenaan hukum menziarahi kubur, hukum menziarahi kubur bagi wanita, bertawassul dengan insan soleh yang telah meninggal, membaca al-Quran di kubur dan beberapa persoalan lain yang bersangkutan “jalan-jalan cari kubur”.
(Gambar pertama yang berpagar ialah kubur Saidina Mua'wiyah, dan gambar kedua ialah kubur Ibn A'sakir, semoga Allah Taala meredhai dan merahmati mereka)