Thursday, March 8, 2007

Jalan-Jalan Cari Ilmu

Jalan-Jalan Cari Ilmu

Rabu 17 Safar 1428 Hijrah, tika kaki melangkah masuk pintu Maahad Jam’iyyah al-Fatah al-Islami untuk memulakan sesi pengajian pada hari tersebut, rasa cemburu seakan mengundang melihat seorang teman dari Indonesia bersama seorang wanita, lantas sikap baik sangka terus disematkan dalam hati, dan terus teringat bahawa dia sudah pun menyatakan pada saya beberapa waktu dulu yang ia akan pulang untuk menamatkan zaman bujangnya. Tahulah saya bahawa ia sudah kembali, dan sudah berubah statusnya sekarang. Tiada kata terindah yang mampu saya lafazkan, kecuali melakukan apa yang telah diajarkan baginda s.a.w dengan mendoakan keberkatan buat mereka tika mana bersua muka dan bersalam dengannya.

Istana perkahwinan merupakan simbol cinta agung bagi sepasang kekasih yang menurut perintah Allah dan rasul-Nya. Dengannya akan terpelihara dua insan yang bercinta dari terjebak ke kancah maksiat, terjaga keturunan dan kehormatan, mematangkan gerak dalam meneruskan kehidupan di dunia dan bermacam bentuk kemanfaatan yang diperolehi kesan dari syariat yang maha sempurna ini.

Majnun tenang saja menjawab ketika ditanya mengapa memilih Laila yang tidak cantik rupa parasnya, malah hitam pula warna kulitnya. “Hanya seorang yang mempunyai sepasang mata seperti Majnun sahaja yang mampu menilai kecantikan Laila.” Benarlah, cinta itu subjektif sifatnya. Romeo dan Juliet pula demi cinta, rela berkorban apa sahaja walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta. Begitulah cinta, ramai yang terkorban keranannya, dan ada juga yang berjaya menggapai langit-langit cinta dengan membina menara perkahwinan yang diredhai-Nya. Hakikat yang berlaku, ada juga menara yang runtuh dek gagal mempertahankan menara yang dibina dari anasir-anasir yang boleh meruntuhkannya.

Cerita pensyarah saya.
Dr. Abd Rahman as-Syarqiyyah, pensyarah saya di tahun dua dalam subjek (“ahwal al-Syakhsiyyah”, perbincangan nikah, cerai, rujuk, dan yang bersangkutan dengan alam rumah tangga). Beliau juga merupakan seorang kadi, di Ba’labakka, Lubnan. Suatu hari, beliau menceritakan pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes perceraian. Menurut beliau, sepanjang beliau mengendalikan kes cerai, tiada seorang wanita pun yang tidak mengalirkan air mata kerana sedih mendengar pengesahan perceraian mereka. Namun, ada satu kes didapati seorang wanita ketawa gembira sebaik mendengar pengesahan perceraiannya. Setelah diselidiki, didapati wanita tersebut mengalami gangguan mental. Naluri manusia tetap mengatakan perpisahan itu suatu yang menyedihkan, lebih-lebih lagi setelah sekian lama tinggal sebumbung.

Saya tidak pernah berkesempatan mengikuti kes perbicaraan pengesahan perceraian di mana-mana mahkamah syariah di Malaysia. Apakah cerita yang sama berlaku seperti mana yang diceritakan pensyarah saya, atau sebaliknya, apakah masyarakat Malaysia sudah menganggap perceraian suatu yang biasa, sehinggakan saban hari ada sahaja berlaku kes keberantakan rumah tangga. Dalam dunia artis, disebabkan sudah menjadi cerita biasa, ada masyarakat awam yang bertanya, agak-agak bila mereka akan bercerai, soalan ditanya sebaik mengetahui artis berkahwin. Malah, saya pernah terbaca mesej di telefon tangan teman saya yang mengandungi lagu yang direka sebaik sahaja Datuk Siti Nurhaliza berkahwin, apa yang menyedihkan, sebaiknya didoakan kebahagiaan dunia dan akhirat buat beliau, namun lirik lagu tersebut dalam nada sindiran menyatakan tentang perceraian mereka yang bakal berlaku.

Cerita dari buku saya
Saya terbaca sebuah kisah teladan yang menarik untuk dikongsi bersama, tidak pasti ia berlaku di mana, buku tersebut di dalam bahasa arab yang bertajuk (“al-Hubbu wa al-Sa’adah baina al-Zawjain”, Cinta dan Kebahagiaan di antara sepasang suami isteri, Penulis: Yusuf Khotthor Muhammad).

Diceritakan seorang suami meminta kepada si isteri membawakannya sebiji epal untuk dimakan, maka si isteri pun membawakannya dan dimakan oleh si suami epal tersebut tanpa menghabiskannya (epal tersebut dimakan oleh si suami tanpa dikupas menggunakan pisau), lalu si isteri mengambil baki epal tersebut dan mengambil sebilah pisau. Si suami bertanya “apa yang ingin awak buat,” si isteri menjawab “saya ingin menghilangkan bekas-bekas gigitan awak.” Tanpa berfikir panjang, si suami lantas menceraikan si isteri disebabkan kesan penghinaan yang dirasakannya.

Ulasan saya terhadap cerita tersebut, dua-dua didapati bersalah…

“Perkara halal yang paling dimurkai Allah Taala ialah perceraian (talak)” –Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah-

Dalam buku tersebut ada juga dimuatkan perumpamaan-perumpamaan tentang wanita. Antaranya: “Wanita Itali tidak akan mempercayai yang kamu betul-betul jujur dalam mencintainya kecuali setelah kamu melakukan satu jenayah kerananya, wanita Inggeris pula akan mempercayai kejujuran kamu setelah kamu banyak “berhabis” kerananya, manakala wanita Perancis pula setelah kamu melakukan sesuatu perkara “bodoh” kerananya, tetapi wanita Arab hanya akan betul-betul akan mempercayai kejujuran kamu dalam mencintainya apabila kamu mengahwininya”

Wanita Melayu pula bagaimana ya??

(Kebenaran perumpamaan ini tidak dapat dipastikan, ia hanya terjemahan semata-mata. Jika ada kebenarannya, mohon diambil manfaatnya, jika tidak mohon dimaafkan kesalahan saya dan penulis buku tersebut)



Cerita pengalaman saya

Poligami dan Monogami

Di penghujung tahun 2006 saya berkesempatan mengikuti satu forum berkenaan “Poligami” yang diadakan di Pusat Thaqafah Arab, Kafar Sousah, Damascus (Markaz al-Thaqafi al-Arabi). Menariknya, panelis forum terdiri dari mereka yang mengamalkan poligami dan yang memilih untuk kekal dengan monogami.

Pada mulanya saya berhasrat untuk membawakan perbahasan poligami mengikut tulisan Dr. Syawqi Abu Khalil, (seorang pakar sejarah yang terkenal) dalam bukunya “al-Islam fi Qafshi al-Ittiham”, malangnya buku saya tersebut hilang entah ke mana. Jadi saya selitkan pengalaman ringkas ini.

Buat wanita-wanita yang berilmu, yang memahami kebijaksanaan syariat Allah Taala, cuba perhatikan di dunia, di Malaysia atau cukup di sekeliling anda, berapa ramaikah lelaki yang betul-betul berhasrat melakukan poligami?

Seorang panelis forum tersebut, mengakui beliau tidak berhasrat melakukan poligami kerana bimbang tidak bisa berlaku adil kepada isteri-isterinya. Forum tersebut berjalan lancar sehinggalah kepada sesi soal jawab. Seorang wanita Syria (bukan berpendidikan agama) bangun mempersoalkan kewajaran mengadakan forum tersebut, beliau lebih menyarankan untuk dianjurkan forum bagaimana jalan terbaik untuk mengahwinkan pasangan-pasangan yang bercinta dek halangan-halangan yang terlalu banyak, idea beliau tersebut dan bangkangan beliau terhadap tajuk forum mendapat tepukan gemuruh hadirin di kalangan wanita. Namun selang beberapa minit setelah itu, tampil pula seoarng wanita lain yang berhijab lengkap seorang muslimah sejati, lain pula kisahnya. Wanita berhijab ini menyatakan bahawa beliau merupakan isteri ketiga kepada seorang lelaki soleh lagi adil, beliau mengharapkan suaminya kahwin buat kali keempat kerana gembira dengan keadilan yang ditunjukkan oleh si suami. Bermadu itu manis rasanya jika kena caranya. Wanita muda yang berhijab tersebut merupakan seorang pelajar di Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro, Damascus. Dengan kenyataan wanita tersebut, satu tepukan gemuruh dari tempat duduk lelaki pula kedengaran. Tersenyum pengacara majlis, Syeikh Mahir al-Hindi, dan menyatakan beliau tidak dapat menghalang tepukan gemuruh peserta-peserta forum dari kalangan lelaki.

Ulasan saya: Yakin dan percayalah akan kebijaksanaan Allah Taala dalam segala pensyariatan-Nya. Poligami dan Monogami, kedua-duanya baik jika diadun dan diuli dengan acuan al-Quran dan as-Sunnah.



Cerita Ustaz Shamsuri Hj. Ahmad

Susah betul nak kahwin
Ustaz yang saya sebutkan di atas merupakan seorang pendakwah bebas yang cukup terkenal di utara tanah air. Pernah sekali beliau menceritakan kisah sepasang suami isteri. Si suami dan isteri bertengkar tentang rumah ibubapa siapakah yang pertama akan dituju untuk pulang ke kampung. Si suami bertegas dan berkeras hanya akan balik ke rumah ibubapanya sahaja. Si suami berhujah dan beralasankan, “dulu masa aku nak kahwin dengan hang, aku makan “maggi” lama untuk simpan duit, aku bukan kahwin dengan hang, aku beli hang…,” begitu lebih kurang dialog yang diungkapkan oleh ustaz dalam dialek utara.

Kes seperti ini merupakan kes biasa yang dihadapi oleh ramai anak muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Gerbang perkahwinan yang diharapkan terpaksa ditangguhkan disebabkan kerenah birokrasi yang wujud. “RM8,888, maaf angka belakang sahaja yang boleh diubah, angka depan tidak boleh diubah.” Satu contoh dialog wakil perempuan kepada wakil lelaki dalam menetapkan wang hantaran. Itu belum lagi dilihat kepada perkahwinan “orang-orang besar” dan artis-artis. Angka RM22,222, RM11,111 dan bermacam-macam lagi angka yang cukup menakutkan kaum lelaki untuk berkahwin. Maka jadilah apa yang terjadi, istana perkahwinan yang tidak dibina dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t seringkali diakhiri dengan perceraian.

“Wanita yang paling besar berkatnya ialah yang lebih mudah bebanan (terhadap lelaki dalam urusan mahar)” –Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya-

“Sebaik-baik wanita itu ialah yang lebih mudah urusan maharnya” –Hadis riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab sohihnya-

Tidak dinafikan mahar di tempat kita boleh dikatakan rendah, tapi mengapa dipindahkan pula bebanan tersebut dengan wang hantaran yang berganda-ganda yang dibuat untuk menunjuk-nunjuk dan menandingi keluarga lain dalam urusan perkahwinan anak-anak.

Ya Allah, kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu kepada-ku dan kepada masyarakat-ku dan juga buat seluruh umat Islam dalam mematuhi segala tunjuk ajar yang dibawa oleh kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w.

Berjalan, Melihat, Menafsir...

Setelah “Jalan-Jalan Cari Kubur” berjaya menembusi alam tanpa sempadan, saya berhasrat untuk menulis mengenai riwayat hidup seorang sahabat baginda s.a.w, Saidina Muawiyah r.a., pemimpin ulung kepada zaman keemasan Islam. Namun, disebabkan maklumat yang ada dalam ingatan saya tidak tersusun, saya tangguhkan dulu buat beberapa ketika, kerana saya memerlukan kepada rujukan semula kitab-kitab sejarah, supaya apa yang bakal diceritakan sesuatu yang benar dan bersih suci dari mana-mana riwayat yang sudah diracun oleh mana-mana pihak, sama ada dari “kumpulan hitam” Syiah, orientalis, dan pihak-pihak yang mempunyai hasad dengki terhadap Islam. Saya mencintai Saidina Muawiyah r.a., dan kecintaan yang sama juga saya rasakan terhadap Saidina Ali r.a. dan kepada seluruh ahli keluarga baginda s.a.w.

Gelaran “kumpulan hitam” di atas saya berikan untuk mengelak dari menyebut perkataan “Syiah” secara terang-terangan sewaktu saya diberi tanggungjawab untuk sama-sama mengepalai sesi jelajah makam yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia Syria pada cuti musim panas yang lalu. Kawasan perkuburan yang kami lawati, diziarahi sama golongan Syiah yang meratap, merintih, menangis dan bermacam-macam lagi perkara bid’ah yang mereka lakukan. Malangnya, seperti mana sikap mereka terhadap sahabat, sikap itu jugalah yang mereka tonjolkan sewaktu menziarahi kubur, sikap “memilih” kubur-kubur tertentu sudah cukup untuk membuktikan sehingga kini mereka masih lagi membenci sahabat-sahabat baginda s.a.w.

Setelah sedikit sebanyak mengetahui, melihat, mengkaji serta mengamati, rasa hormat saya terhadap “kumpulan hitam” semakin hari semakin menurun. Zaman kanak-kanak saya, pernah juga membelek cerita-cerita revolusi yang dicetuskan Khomeini, ada sedikit kekaguman. Usia menginjak remaja, mendengar orang-orang yang menceritakan tentang kehebatan Iran. Masa berlalu dan terus berlalu….jalan-jalan cari ilmu, menemukan saya hakikat sebenarnya, dan saya bertekad, saya tidak akan menghormati mereka selagi mana mereka tidak menghormati pendamping-pendamping setia makhluk paling agung, banginda Nabi Muhammad s.a.w, selagi mana mereka “memilih-memilih” dalam hal ini, maka tiada kompromi ke atas mereka. Betul, saya akan berada di belakang mereka atas perjuangan menentang kebiadaban Zionis dan sekutunya, namun saya akan berada sejauh-jauhnya dari mereka ketika mana mereka hanya menyanjung insan-insan tertentu sambil mencela dan mengenepikan yang lain. Dengan kata lain, selagi mana usul “al-Taqiyyah” tidak dibuang dari pegangan mereka, selagi itulah sukar untuk saya menghormati mereka.

Besar harapan saya, peserta-peserta yang ikut serta dalam jelajah makam yang dianjurkan, pulang dengan seribu maklumat, baca kembali sejarah dan meneliti skripnya, kerana sejarah pasti berulang, pelakonnya sahaja yang berbeza. Sesungguhnya siapa yang meneliti sejarah, pastinya sedar dan tahu, bahawa hanya ada dua golongan sahaja di dunia ini, yang ingkar dan enggan patuh segala arahan-Nya dan yang kedua, yang beriman dengan segala arahan-Nya dan menuruti apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya.
Allah s.w.t menyebut di dalam surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat ‘ibrah (pengajaran) bagi mereka yang sempurna akan fikirannya. Ia bukanlah bicara yang direka-reka bahkan suatu kenyataan yang mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab yang terdahulu daripadanya. Serta sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Selalu dipesan buat diri, dan pesan ini juga ditujukan buat semua, “jalan-jalan” bukan sekadar berseronok suka, bergambar gembira dan makan bersama, lebih-lebih lagi, “jalan-jalan sejarah” bukan sekadar penglipur lara, ambillah peringatan wahai orang-orang yang beriman!!!



Saturday, March 3, 2007

Jalan-Jalan Cari Kubur


Dalam pengembaraan saya mencari ilmu di bumi Syam, saya pernah berkesempatan berkawan dengan seorang teman yang menjadikan ziarah kubur sebagai salah satu pengisian masa senggangnya. Bagi saya, ia sebagai suatu hobi yang cukup unik yang amat sukar ditemui di kalangan ramai teman-teman saya.

Suatu hari, ketika saya dibantu beliau untuk menziarahi kubur-kubur para sahabat, pemimpin Bani Umayyah, para ulama’, wali-wali Allah dan juga insan-insan soleh sekitar kota Damsyik, saya terkejut dengan pertanyaan beberapa orang penjaga kubur yang bertanyakan kepada beliau, mengapa sudah lama tidak datang ziarah. Malah teman saya ini turut mengenali nama-nama beberapa orang penjaga kubur sekitar Damsyik. Dengan dua tanda tersebut, tahulah saya bahawa teman saya sudah beberapa kali datang menziarahi kubur-kubur sekitar Damsyik.

"Jalan-jalan cari kubur" yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu berakhir sebaik masuknya waktu solat asar. Alhamdulillah kami berkesempatan menziarahi sekitar 60 kubur di beberapa buah kawasan perkuburan kota Damsyik. Tiga lokasi utama kami pada hari itu ialah kawasan perkuburan Bab al-Soghir, Bab Tuma, Qadam dan Raudhah al-Ulama’.

Jika di Malaysia, saya hanya mendengar mengenai Saidina Mua’wiyah bin Abi Sufyan, Bilal bin Rabah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ibn A’sakir, Dr. Mustafa as-Sibaei’, Syeikh Mulla Ramadhan -ayah kepada Prof. Dr. Said Ramadhan al-Bouti- (sekadar menyebutkan beberapa nama dari beberapa generasi), tetapi pada kali ini saya berkesempatan memberi salam dan membacakan Ummul Kitab buat mereka. Sedikit sebanyak sejarah serta riwayat hidup mereka saya soroti dengan penerangan-penerangan yang diberikan oleh teman saya.

Antara kelebihan yang saya temui pada teman saya sepanjang “jalan-jalan cari kubur” kami pada hari itu ialah penerangan-penerangan yang diberikan oleh beliau tanpa menggunakan apa-apa teks atau nota. Mungkin itu satu nikmat yang Allah berikan kepada mereka yang memelihara diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Teman saya ini terkenal dengan ingatannya yang cukup kuat, cukup sekali bertemu dia pasti boleh mengingati semula nama-nama pelajar Malaysia yang beliau temui. Dengan kata lain, bagi saya teman seperti ini sukar untuk saya temui.

(Teman yang saya maksudkan sudahpun menamatkan pengajiannya di Maahad al-Fatah al-Islami, beliau bercadang menyambung pengajian di peringkat sarjana (M.A) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Saya lebih berminat menggunakan nama “Syam” dari “Syria”, kerana ia lebih dekat dengan Islam bersandarkan hadis-hadis berkenaan kelebihan “Syam”. Insya-Allah di lain waktu, saya akan cuba menulis riwayat hidup insan-insan yang kami ziarahi. Mudah-mudahan “jalan-jalan cari kubur” mengingatkan kami kepada ajal dan maut yang tidak diketahui tarikh dan harinya serta sejauh mana persediaan kami menghadapinya. Dalam masa yang sama, diharapkan bacaan serta kajian mengenai insan-insan yang kami ziarahi pusaranya, dapat dijadikan panduan dan tauladan dalam menghadapi sisa-sisa kehidupan di muka bumi-Nya.

Tanpa disedari “jalan-jalan cari kubur” membawa saya merujuk kembali beberapa persoalan hukum-hukum fiqhiyyah berkenaan hukum menziarahi kubur, hukum menziarahi kubur bagi wanita, bertawassul dengan insan soleh yang telah meninggal, membaca al-Quran di kubur dan beberapa persoalan lain yang bersangkutan “jalan-jalan cari kubur”.
(Gambar pertama yang berpagar ialah kubur Saidina Mua'wiyah, dan gambar kedua ialah kubur Ibn A'sakir, semoga Allah Taala meredhai dan merahmati mereka)