Saturday, April 7, 2007

Sambutan Maulidur Rasul di Damsyik, Syria

Sewaktu usai entri pertama dimasukkan dan blog saya berjaya disiapkan, saya berjanji pada diri untuk cuba memperbaharui atau mengemas kini blog saya seminggu sekali, saya hanya merancang, hanya Dia yang bakal menentukan, dengan kesibukan yang memanjang ditambah dengan beberapa kesulitan, hampir sebulan saya tidak mengemas kini. Namun itu tidak bermakna saya ketinggalan maklumat semasa, sempat juga singgah-singgah dunia maya mencuri masa membaca maklumat semasa, menziarahi web-web blog blogger-blogger profesional tanah air yang mula merungut kebebasan mereka mungkin akan diceroboh jika menulis di alam maya pun terpaksa mendaftar, apakah penulis amatur seperti saya juga terpaksa mendaftar?

Sehari demi sehari usia dunia berlalu pergi, sama ada sedar atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa usia dunia semakin hampir ke penghujungnya. Bagi saya yang dalam pengembaraan ilmu di bumi Syam, saban hari dihidangkan dengan konflik timur tengah yang seakan-akan tidak ketemui titik noktahnya. Walaupun sehingga saat saya menaip entri ini Syria masih belum dinodai dengan sebarang peluru Amerika, Israel dan sekutunya, sekurang-kurangnya bahang kepanasan konflik Iraq, Palestin, Lubnan dan Iran kadang kala sampai jua ke sini. Terkini, konfrantasi Iran-Britain menghangatkan lagi keadaan yang sedia panas. Apakah hegemoni Amerika dan sekutunya akan diperluaskan? Satu persoalan yang bakal menemukan aneka jawapan.

Bukanlah hasrat saya untuk mengulas panjang konflik yang berlaku di bumi yang saya duduki sekarang, kali ini saya suka untuk berkongsi pembacaan saya terhadap gerak kerja ulama Syria dalam menjalankan amanah yang terbeban sebagai waris para nabi. Saya rasakan seolah-olah mereka punya metodologi yang satu, cuma mungkin wujud perbezaan kecil dalam gerak kerja.

Sempena tarikh kelahiran manusia agung Nabi Muhammad s.a.w (walaupun saya agak terlewat memasukkan entri ini dari tarikh ulang tahun sebenar), dan dengan konsep “dia hidup di hati-hati kami”, Masjid Al-Rifaei yang terletak di Kafar Sousah, Damsyik menganjurkan sebuah majlis sambutan Maulidur Rasul besar-besaran. Masjid tersebut dipimpin oleh Syeikh Usamah al-Rifaei. Masjid Al-Rifaei merupakan salah sebuah masjid yang cukup berpengaruh di ibu kota Damsyik. Kehadiran ribuan hadirin yang membanjiri masjid sehingga ada yang terpaksa mengikuti majlis di luar sudah cukup membuktikan hebatnya sambutan yang diterima dari segenap golongan masyarakat.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, penganjur program tetap memilih bacaan burdah (lihat fakta ringkas di bawah) sebagai agenda utama program, ia turut diselang-seli dengan ucapan beberapa orang ulama dan diserikan lagi dengan ucapan-ucapan ringkas kanak-kanak kecil berkenaan puji-pujian kepada baginda s.a.w. Sempat saya perhatikan seorang arab di sebelah saya yang memberikan rangsangan kepada anaknya supaya menjejaki jejak teman-temannya yang berani tampil ke hadapan.

Syeikh Usamah al-Rifaei dalam ucapannya mengingatkan, program sambutan ini bukan sekadar untuk menghiburkan jiwa dengan alunan burdah yang disampaikan, tetapi untuk sama-sama dihayati segala kandungan burdah dan seterusnya menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Syeikh Usamah al-Rifaei juga berpesan kepada hadirin, supaya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w dalam segenap hal, mudah-mudahan dengan masyarakat yang baik, pemimpin akan terikut dengan suasana masyarakat. Suatu yang saya lihat di Syria, dalam masa ruang untuk meninggikan kalimah Allah s.w.t melalui sistem demokrasi tertutup rapat, para ulamanya tidak berputus asa, segala ruang-ruang yang masih dibenarkan digunakan sepenuhnya untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Majlis-majlis ilmu terus mekar hidup subur, khutbah-khutbah jumaat dijadikan platform terbaik menyebarkan ilmu dan dakwah secara mingguan.

Majlis sambutan tersebut turut menyentuh hati saya sebagai orang muda apabila satu kempen besar-besaran kutipan derma kepada tabung “al-Mawaddah wa al-Rahmah” diadakan, yang mana objektif utamanya ialah untuk membantu golongan muda-mudi yang ingin berkahwin untuk dipermudahkan urusan perkahwinan mereka jika mempunyai masalah kewangan. Ia juga bertujuan untuk membina masyarakat yang sentosa, aman tanpa dosa dan noda akibat penyakit-penyakit anak-anak muda yang terbantut dan tergendala perkahwinan mereka akibat karenah birokrasi orang-orang tua. Projek murni ini diasaskan pada tahun 1999 dan merupakan projek kedua bagi Persatuan Yayasan-yayasan Kebajikan di Damsyik setelah tabung “al-A’fiyah” (tabung khusus bagi pesakit-pesakit miskin yang memerlukan bantuan). Sejak ditubuhkan, tabung ini sudah pun mengeluarkan sumbangan kepada lebih 2,250 orang pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Syeikh Sariyah al-Rifaei dalam ucapannya menyentuh tentang tabung ini dan kepentingan menjayakannya, malah turut mendoakan dalam ucapannya agar anak-anak muda dikurniakan isteri-isteri solehah dan anak-anak gadis dikurniakn suami-suami soleh. Amin Ya Rabb…

Fakta Ringkas:

Burdah al-Madih: Merupakan untaian syair-syair memuji Rasulullah s.a.w hasil karya Abu Abdillah Muhammad bin Said al-Bushiri (608H-696H). Ramai di kalangan ulama berpendapat, ia merupakan salah satu syair terbaik dalam memuji Rasulullah s.a.w.

Sejumlah besar masjid-masjid di Syria dipimpin oleh seorang ulama. Di sana diwujudkan kelas-kelas pengajian, bacaan al-Quran dan majlis-majlis zikir, juga turut diadakan program-program sambutan keagamaan seperti maulidur rasul.

Syeikh Usamah al-Rifaei dan Syeikh Sariyah al-Rifaei: Merupakan anak kepada Syeikh Abd Karim al-Rifaei rahimahullah (1901M-1973M), tokoh ulama Syria yang terkenal satu ketika dahulu. Seperti mana ayah mereka yang menjadikan masjid sebagai pusat utama dalam menggerakkan masyarakat, mereka turut mengikuti jejak langkahnya dengan masing-masing memimpin masjid al-Rifaei dan masjid Zaid bin Thabit, dua buah masjid yang cukup aktif dan berpengaruh di ibu kota Damsyik. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, generasi muda perlu dididik dengan asuhan agama agar langkah hidup tidak tersilap, dengan itu mereka asaskan pengajian-pengajian ilmu, kelas-kelas al-Quran, kumpulan-kumpulan nasyid dan burdah. Mereka juga meneruskan gerak kerja ayah mereka dalam menggerakkan yayasan-yayasan kebajikan.


(Gambar-gambar sekitar majlis sambutan Maulidur Rasul, Masjid al-Rifaei, Damsyik, Syria)


11 comments:

Iman Mawaddah said...

Salam balas kunjungan,
Ooo rupa2nya ilham sahabat kepada 3 serangkai- bayu, bang gugar dan hakim. Selamat datang ke dunia blog.

Sambutan Maulidur Rasul di bumi anbiya pasti berbeza dengan sambutan di tanah air. Saya teringin sekali mendengar Burdah Al-Madih. Jika tidak keberatan dan menyusahkan minta tolong ilham link kan mp3 ke blog ini ataupun email saya di iman_mawaddah@yahoo.com.

banggugar said...

salam,
nmpak digambar2 yg ada memang meriah majlis2 yg diadakan penduduk Syam dengan sambutan Maulidur Rasul.

(",)

BaYu SenJa said...

bayu pun ikut jugak majlis tu...

sungguh asyik dengan keindahan bait dan kelunakan suara mengalun madah burdah..

hakim dirani said...

Alhamdulillah saya tak lepaskan peluang mengikuti.

Ilham Purnama said...

iman mawaddah,
Terima kasih atas kunjungan balas, mudah-mudahan kita semua tergolong dlm golongan yang bersama baginda s.a.w di akhirat kelak.

bang_gugar,
terima kasih..

bayu senja,
harap2 kita sama mendapat keberkatan mengahadiri majlis tersebut.

hakim dirani,
harap2 kita sama mendapat keberkatan mengahadiri majlis tersebut.

banggugar said...

salam,
saya mencari2 gambar ilham dalam gmbar ni.. tak jmpa.. (",)

CerminDiri said...

salam kehidupan,
memang seorang pelajar rajin. Di samping sibuk dengan pengajian pun masih lagi atur masa untuk program sebegitu.
Tahniah buat kehidupan anda.

elhamy said...

salam,
elhamy tak sempat nak ikuti program2,
nasib baik ilham tulis...........boleh baca...

fatimah_mastura said...

salam `alaik akhi al-kareem,
alhamduliLlah...

الهم صلي وسلم وبارك على سيدنا محمد
وعلى اله و اصحابه اجمعين

Mama Siti said...

assalamualaikum... setelah membaca buku ttg 3 tokoh bakal menakluk dunia... terus saja saya berminat mengetahui ttg syria kerana diterangkan bahawa damascus syria menjadi tempat pimpinan imam mahadi menjelang kiamat kelak... teruskan berblog ttg suasana di sana... semoga dapat manfaatnya...

Mama Siti said...
This comment has been removed by the author.